Logo Baru UPSI

Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim

Bangunan UPSI Ketika Ini

Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim

UPSI

Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim

Bangunan Baru e-Learning

Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim

Pintu Masuk

Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim

Monday, March 29, 2010

Tarikh Lantikan DG41 Pada 5 Oktober 2009

Salam rakan2,

Saya mengambil kesempatan ini untuk menulis sedikit berita gembira walaupun masih dalam kesibukan yang tidak begitu ketara dalam menyelesaikan 2/3 assignment lagi. Perkhabaran yang gembira untuk dikongsi bersama.

Saya telah dihubungi oleh saudara Khairudin dari Ipoh pada jam 4.45 petang tadi. Menurut beliau, surat tawaran DG41 telahpun berada di JPN masing2 kerana BPSM telah mengeluarkan surat tersebut pada 22 Mac 2010. Sekarang ini terpulang kepada JPN masing2 sama ada mereka cepat atau lambat. Beliau telah menghubungi JPN Perak dan bertanyakan semua rakan2 di Perak dan jawapan yang diterima semua kumpulan dari Perak telahpun ada surat di JPN Perak dan rakannya di JPN menyatakan bahawa tarikh yang disyorkan ialah pada 5 Oktober 2009.

Terima kasih kepada semua rakan2 yang mendesak dan terus mendesak sehingga proses itu dapat dipercepatkan dan mereka tidak bekerja sambil lewa sahaja. Oleh itu sekarang ini, giliran kita mendesak JPN masing2 pula untuk mempercepatkan penghantaran surat tersebut ke sekolah.

Cuba rakan2 selidik tentang Borang Tapisan Keselamatan. Ada di antara guru-guru kita menerima borang tapisan keselamatan yang begitu detail untuk dilengkapkan. Sepatutnya, tapisan keselamatan sekarang adalah menggunakan Borang Tapisan Keselamatan Kasar yang lebih kurang 1/2 mukasurat sahaja. Sesiapa yang ada maklumat tersebut, maklumkanlah dalam blog ini.

TAHNIAH KEPADA SEMUA!!!!

Terima kasih.

Thursday, March 25, 2010

NAK KELIHATAN AWET MUDA ! NI PETUANYA....




Mohon maaf kepada admin kerana entri ini. Bukan apa, entri yang lalu terlalu lama dan saya juga kasihan kepada admin yang terlalu sibuk buat masa ini. Mungkin entri ini sedikit sebanyak akan meredakan keresahan dan ketensionan kita dalam menunggu surat perlantikan itu. Cubalah cari dan makan buah ini untuk meredakan keradangan kita. Buah ini juga untuk kelihatan awet muda sebab kita pun bukannya muda lagi, dah tua daaaaaaaaaaaaaah.

Ulam mahupun sayuran sebenarnya tidak hanya tertumpu daripada jenis tumbuhan renek atau melata diatas tanah atau memanjat.

Contohnya ialah POKOK KERADANG yang tumbuh rimbun dan sesuai dijadikan tempat teduhan. Pokok ini mempunyai buah berwarna merah jambu dan unggu gelap pekat bila sudah matang.

Menurut Pegawai di Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains UPM, Tajuddin bin Abdul Manap, pokok keradang atau nama botaninya carissa carandas, bukan sahaja cantik tetapi mempunyai khasiat dari segi kesihatan diri. “Kalau ia berbuah lebat, pokok keradang ini kelihatan cantik kerana rimbunan hijau daun-daunnya bercampur dengan buahnya berwarna merah jambu dan unggu gelap pekat. Ini ditambah pula bunganya yang berwarna putih pecah lima,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, sesetengah masyarakat Melayu percaya pokok yang sederhana tinggi dan berdaun keras serta batangnya berduri keras ini mempunyai khasiat untuk awet muda.

Biasanya buah keradang yang sudah matang dimakan bersama ulam atau sayuran yang lain. Namun begitu, buahnya yang sudah matang (warna ungu gelap pekat) itu bergetah bila dipetik. Sebab itulah, sebelum dicampur di dalam mana-mana sayuran, ia harus direbus sehingga mendidih terlebih dahulu.

“Mungkin kaedah itu adalah untuk menghilangkan keracunan getah yang ada pada buahnya itu. Rasanya agak kelat. Tapi berdasarkan pengakuan beberapa pegamal perubatan tradisional, ia dikatakan boleh membantu meningkatkan kesihatan diri,” katanya.

Thursday, March 18, 2010

Berita 18 Mac 2010

Salam rakan2,

Hari ini saya menghubungi saudara Adley selepas beliau pergi berjumpa dengan Cik Rosaliza di BPSM. Difahamkan tarikh perlantikan kumpulan kita yang dikategorikan sebagai kohort4 (IAB) sekali lagi dipinda. Jika sebelum ini saudara Adley dan Abu serta seterusnya saudara Anas dan Choong (Sabah) menerima surat tawaran bertarikh 2 Oktober 2009, dimaklumkan akan dipinda dan diperbetulkan ke tarikh baru iaitu 30 November 2009 iaitu bersamaan tarikh diperaku oleh SPP.
Proses ini dijangka selesai dalam seminggu dua lagi dan selewat-lewatnya pertengahan bulan April. Inikah yang dikatakan kerja yang efisien oleh pegawai2 PTD??? Inilah yang dilaung-laungkannya apabila menuntut jawatan dalam kementerian pelajaran. Nampaknya tak ada perbezaan dan perubahan. Adakah kerja2 sorting dan mengeluarkan surat mengambil masa yang begitu lama??? Dari bulan Disember dan sekarang dah mencecah bulan Mac dan tak lama lagi bulan April.
Apa yang agak mendukacitakan ialah apabila saudara Adley kita telah ditempatkan ke SK Tanming Jaya sebagai guru biasa BM atas gred DG41 berkuatkuasa 1 April 2010. Saudara Abu masih tak ketahuan dan dengar2nya saudara Tengku Adnan juga akan ditempatkan di sekolah. Mengapa jadi begini??? Adakah BPSM yang diterajui oleh pegawai2 PTD benar2 membantu kita iaitu golongan DG???
Kumpulan pendesak kita tidak bersatu padu. Mengharapkan saya seorang sahaja walaupun mewakili kumpulan menunjukkan bahawa mungkin ia kepentingan individu. Adakah rakan2 lain turut mendesak???? Apakah sumbangan rakan2 selama ini???? Sekurang-kurangnya apabila kerap kali diganggu dengan panggilan telefon, mereka tergerak untuk menyelesaikannya. Mungkin bukan masalah sorting kerana saya dimaklumkan bahawa dia memang tahu kumpulan kita seramai 105 orang. Kenapa tertangguh-tangguh???
Sebenarnya banyak persoalan yang bermain di fikiran. Tindakan yang melangkaui batasan prosedur juga tidak mahu dilakukan. Jika boleh biarlah bersopan dan bersantun. Tetapi..... jika ini bukan jalan penyelesaiannya, apakah tindakan kita seterusnya???? Rakan2 fikirkan dan berikanlah cadangan yang bernas.

Terima kasih.

Geran perkapita dinaikkan 100%

KUALA LUMPUR 17 Mac - Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan beberapa langkah untuk memperkukuhkan pembangunan sukan di sekolah antaranya menambah sekali ganda geran perkapita pelajar.

Peruntukan sedia ada geran perkapita sukan akan dinaikkan daripada RM2.40 kepada masing-masing RM4 dan RM6 untuk sekolah rendah dan menengah.

Geran padanan bagi setiap sumbangan ibu bapa pelajar juga akan diperkenalkan untuk menambah dana pembangunan sukan sekolah.

Mulai tahun depan juga, separuh daripada 10 peratus markah penglibatan kokurikulum pelajar akan diperuntukkan kepada aktiviti sukan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah-langkah tersebut diputuskan bertujuan mengembalikan kecemerlangan sukan di sekolah yang kurang mendapat perhatian.

Menurut beliau, dasar terbaru kerajaan 1Murid 1Sukan itu bukan bermatlamat mencari atlet cemerlang semata-mata hingga mengabaikan pencapaian akademik tetapi merupakan langkah serampang dua mata iaitu melahirkan pelajar cemerlang dalam kedua-dua bidang.

"Ia untuk menggalakkan pembangunan sukan di sekolah dan bukan sekadar memberi tumpuan melahirkan atlet cemerlang mewakili negara.

"Tetapi dalam kita majukan sukan sekolah sudah pasti bakat dan potensi pelajar dalam sukan boleh dikenal pasti untuk diketengahkan melalui Majlis Sukan Sekolah-Sekolah, bagaimanapun ia bukan sasaran dan matlamat utama kita," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Sukan sekolah di bangunan Parlimen hari ini.

Keputusan lain yang diputuskan oleh jawatankuasa itu ialah:

l Kokurikulum sukan sepenuhnya akan bermula pada 2011 dengan beberapa struktur kementerian akan diubah seperti Bahagian Sukan, Seni dan Kurikulum akan dipisahkan menjadi dua entiti berbeza.

l Penambahan tenaga khas iaitu guru pelaksana program pembangunan sukan di sekolah.

l Menyusun semula jadual kurikulum sekolah bagi kesenangan para pelajar dan penjaga.

l Jumlah minimum aktiviti sukan sebanyak 60 minit seminggu untuk sekolah rendah dan 90 minit untuk sekolah menengah, bergantung kepada pihak sekolah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan perubahan dan penambahan itu tidak akan menjejaskan waktu pembelajaran kurikulum, sekali gus menghilangkan kebimbangan ibu bapa yang khuatir ia akan menjejaskan kecemerlangan akademik anak-anak mereka.

"Dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini sudah terbukti terdapat pelajar yang mampu cemerlang dalam kedua-dua bidang, akademik dan kokurikulum," katanya.

Selain itu, beliau berkata, bermula pada tahun ini segala kemudahan infrastruktur sukan yang daif di sekolah-sekolah akan dipertingkat dan dibaik pulih.

Tambah Muhyiddin, pihaknya juga telah meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan supaya membantu menyediakan kemudahan sukan seperti padang permainan dan dewan kepada sekolah yang memerlukan.

"Kalau boleh kita minta mereka tidak kenakan sebarang bayaran atau hanya kadar rendah bagi membantu meringankan beban pihak sekolah dan pelajar untuk membayarnya," katanya.

Wednesday, March 17, 2010

Maklum Balas Akhbar: “Pesara Bantah Potong Pampasan”

Sesiapa yang nak bersara awal tu, bolehlah baca dan fahamkan petikan ini yang diambil dari laman web JPA.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat Bakal Pesara Hampa dalam akhbar Berita Harian bertarikh 3 Mac 2010 bertajuk “Pesara Bantah Potong Pampasan”.

Persaraan pilihan ialah suatu keistimewaan yang boleh dipertimbangkan bagi anggota sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, kepentingan perkhidmatan serta keadaan kewangan negara.

“Pampasan” yang dimaksudkan oleh Bakal Pesara Hampa ialah ganjaran yang hanya akan dibayar 20 peratus atau RM10,000 mengikut mana yang lebih, ketika bersara. Baki selebihnya akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Kerajaan, tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara wajib mengikut syarat pelantikan atau opsyen umur persaraan wajib. Peraturan ini hanya bagi persaraan pilihan yang berkuatkuasa selepas 1 Februari 2010.

Walau bagaimanapun, surat edaran JPA bertajuk “Penangguhan Bayaran Sebahagian Ganjaran Persaraan Pilihan” pada 25 Januari 2010 dengan jelas menyatakan terdapat kelonggaran atas sebab-sebab seperti:

(a) Rawatan perubatan diperlukan oleh anggota atau ahli keluarganya. (Berasaskan surat akuan bertulis oleh Pegawai Perubatan Kerajaan).

(b) Perbelanjaan pendidikan diperlukan bagi anggota atau ahli keluarga. (Berasaskan surat tawaran pengajian dan surat penerimaan pengajian dari institusi pendidikan).

(c) Anggota memerlukan kewangan bagi mengelakkan diri daripada tindakan kebankrapan. (Berasaskan dokumen berkaitan tindakan undang-undang ke atas anggota).

Sekiranya bakal pesara ada sebab-sebab selain di atas, permohonan pengecualian boleh dipohon daripada Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA dengan mengemukakan bukti bertulis yang menyatakan sebab pengecualian untuk pertimbangan JPA.

Berkenaan potongan pinjaman perumahan pula ianya adalah tertakluk kepada arahan potongan pencen/ganjaran daripada Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia. Rayuan untuk mengurangkan potongan boleh diajukan kepada bahagian yang terbabit

Friday, March 12, 2010

Kementerian tanggung bayaran air, elektrik sekolah

Petikan Akhbar Utusan Malaysia Online Pada 12 Mac 2010

KINABATANGAN 11 Mac - Isu sekolah perlu mencari dana tambahan bagi membayar bil elektrik dan air tidak sepatutnya timbul kerana bayaran itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan dibuat setelah Kementerian mendapat dana tambahan selepas masalah tersebut dibangkitkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mungkin sekolah terbabit belum mendapat makluman berhubung keputusan baru itu," jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam di sini yang terletak kira-kira 120 kilometer dari bandar Sandakan, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas masalah yang dihadapi sekolah apabila Jabatan Pelajaran Daerah mengehadkan peruntukan bagi membayar bil air dan elektrik kepada hanya RM2,000 setahun.

Ini menyebabkan sesetengah sekolah perlu mencari dana tambahan jika bayaran kemudahan air dan elektrik itu melebihi jumlah diperuntukkan.

Muhyiddin berkata, masalah pengurangan dalam kos operasi bukan sahaja dihadapi oleh Kementerian Pelajaran tetapi semua kementerian lain.

Dalam hal ini, katanya, semua pihak digalakkan mengamalkan langkah berjimat cermat bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar.

"Sebagai contoh dalam soal bekalan air dan api, jika kita dapat berjimat cermat sehingga 10 atau 20 peratus ia akan membawa kesan besar kerana kita ada 10,000 sekolah.

"Bayangkan, jika 10,000 sekolah perlukan RM2,000 untuk elektrik dan air, tidakkah kita sudah membelanjakan kira-kira RM20 juta," katanya.

Thursday, March 11, 2010

Pemansuhan Bayaran Wad Kepada Pegawai Dan Pesara Perkhidmatan Awam

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4/2010 berkaitan Pemansuhan Bayaran Wad Kepada Pegawai Dan Pesara Perkhidmatan Awam. Sila klik hyperrangkai di bawah.

PP Bil. 4/2010

Walaupun tak seberapa tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan beban kepada penjawat awam terutama kepada mereka yang berpencen.

Tuesday, March 9, 2010

berkursus dan reunion

Adalah saya, Yusof bin Sipan mencadangkan supaya kekawan semua pakat2 mohon kursus ini;

IAB103B19 PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN PEJABAT - IAB INDUK pada 23/11/2010 - 26/11/2010

Tujuannya adalah seperti tajuk di atas ler.....hehehe

Jom, cepat mohon online! (klik di sini)

Monday, March 8, 2010

Semasa Lantikan DG41

Rakan2,
Saya sempat menelefon Cik Rosaliza di BPSM pada 8 Mac 2010 jam 8.50 pagi untuk bertanya status pelantikan kita. Difahamkan semua lantikan bagi mereka yang terlibat di SJKC, SJKT, SM, PPD, JPN dan KPM telah dilakukan tetapi tidak di SK kerana difahamkan tiada perjawatan. Perjawatan tersebut akan diconfirmkan dengan Unit Naziran di BPSM juga. Menurut beliau lagi, perkara ini mungkin selesai dalam seminggu dua ini. Oleh itu kita kena bersabar lagi sehingga akhir bulan Mac 2010 ini. Kalau rakan2 nak cuba desak, boleh menelefon 03-88847714 (Cik Rosaliza).
Sekian berita semasa. Terima kasih.

Saturday, March 6, 2010

Pengetua, guru besar sekolah bukan SBT turut nikmati insentif: TPM

PETIKAN AKHBAR BERITA HARIAN ONLINE PADA 6 MAC 2010 JAM 1.00 PETANG

BEHRANG: Pengetua dan guru besar sekolah bukan dalam kelompok Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) akan diberi insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan mulai tahun depan sekiranya sekolah mereka cemerlang berdasarkan kriteria tertentu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata insentif itu akan dikongsi guru dan pentabir sekolah berkenaan.

Muhyiddin berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan warga pendidik Daerah Batang Padang di Dewan Politeknik Sultan Azlan Shah serta Program Juara Rakyat peringkat negeri Perak, di Tasek YDP Slim River, sebentar tadi.

Thursday, March 4, 2010

Elaun kesusahan guru 300 sekolah pedalaman akan dinaikkan

PETIKAN AKHBAR BERITA HARIAN ONLINE PADA 4 MAC 2010 JAM 6.48 PETANG

BOTA: Elaun kesusahan bagi guru yang mengajar di 300 sekolah kawasan pedalaman akan dinaikkan dan perkara itu dalam kajian Unit Perancangan Dasar Pendidikan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Puad Zarkashi di sini, hari ini.

Wednesday, March 3, 2010

Wajib bertugas di pedalaman?


Muhyiddin Yassin bertemu kakitangan Kementerian Pelajaran selepas menyampaikan amanat kepada kakitangan kementerian itu pada majlis perhimpunan bulanan di Kuala Lumpur, semalam. – Bernama


KUALA LUMPUR 2 Mac – Kerajaan akan menimbangkan untuk mewajibkan semua guru bertugas di kawasan pedalaman antara tiga dengan lima tahun daripada tempoh perkhidmatan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan sasaran untuk menyahut cabaran itu ialah guru-guru yang masih belum berkeluarga.

Katanya, langkah itu akan menjadi satu bentuk dorongan dan cabaran baru kepada warga pendidik untuk bertugas di kawasan pedalaman di atas dasar khidmat sosial kepada negara.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah penempatan guru di kawasan pedalaman yang menjadi salah satu cabaran besar yang dihadapi Kementerian Pelajaran pada masa ini.

“Dalam tempoh 30 tahun guru berkhidmat, mungkin boleh antara tiga ke lima tahun dari tempoh itu mereka memberi perkhidmatan di kawasan pedalaman.

“(Ini) sebagai satu kewajipan, bukan sebagai satu pilihan dan ini memang perlu kita lihat,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sewaktu ditemu bual dalam rancangan Agenda Awani yang disiarkan oleh stesen televisyen Astro, di sini malam ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sebenarnya telah menyediakan beberapa bentuk galakan untuk guru bertugas di kawasan pedalaman seperti elaun sara hidup maksimum RM1,500 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, yang lebih penting ialah kesungguhan dan kesediaan warga perguruan untuk berkorban demi anak bangsa.

“Kalau semua nak pergi ke kawasan bandar, tidak ada pihak yang bersedia untuk berkorban mendidik anak- anak di pedalaman. Ini adalah satu kepincangan dalam sistem (pendidikan) kita,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai arahan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan, Muhyiddin berkata, pihak sekolah tidak wajar memberikan pelbagai alasan untuk tidak mematuhinya.

Muhyiddin mengakui antara masalah yang ditimbulkan ialah sesetengah sekolah terutama yang tidak mempunyai prasarana sukan mencukupi seperti kemudahan padang dan kelengkapan.

Beliau berkata, mereka masih mempunyai alternatif lain seperti menjalinkan kerjasama menang-menang dengan persatuan sukan, badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menggunakan kemudahan yang dimiliki oleh pihak berkenaan.

“Sukan mempunyai prospek yang amat besar dan saya yakin ia mampu dilaksanakan serta pada masa yang sama, kerajaan sedia memberikan kerjasama sewajarnya.

“Selain itu, kerajaan juga mempunyai tujuan bersifat serampang dua mata dalam melaksanakan dasar ini iaitu bagi menangani masalah terlalu ramai kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti,” katanya.

Tuesday, March 2, 2010

Guru tidak boleh kenakan hukuman fizikal

KUALA LUMPUR: “Tiada peraturan yang membolehkan guru mengenakan sebarang hukuman fizikal terhadap murid,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan seorang guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan SS 17 yang didakwa mencubit pipi dan lengan seorang murid Orang Kurang Upaya (OKU), Zulhilmi Hakim, 12, hingga meninggalkan kesan lebam.


Kejadian berkenaan disedari bapa mangsa, Ismail Humaidi Ahmat, 45, selepas menjemput anak kedua daripada tiga beradik itu dari sekolah, di Subang Jaya, jam 3 petang, Isnin lalu. Bagaimanapun katanya, hanya guru besar dan pengetua saja mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman fizikal terhadap murid seperti merotan tapi perlu mengikut peraturan tertentu.


“Walaupun mereka mempunyai kuasa berbuat demikian, ia haruslah mengikut kaedah disediakan semasa pelaksanaan hukuman seperti dengan dihadiri saksi, dalam keadaan tertutup dan melalui cara tertentu.


“Selain itu, dalam keadaan sekarang, sentuhan fizikal antara guru dan murid memang tidak dibenarkan sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya, beliau akan mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak (guru dan murid terbabit) dan memaklumkan kepada guru besar sekolah itu supaya menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian itu.

“Bagaimanapun, jika laporan didapati tidak lengkap, saya akan meminta jemaah nazir sekolah menyediakannya. Perkara berkaitan anak-anak perlu dibincang antara kedua-dua pihak dan diharap ibu bapa tidak perlu bimbang kerana siasatan akan dijalankan secepat mungkin,” katanya.


Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap guru berkenaan, Alimuddin berkata, keputusan hanya akan diketahui selepas siasatan terperinci dilaksanakan jawatan kuasa disiplin. Semalam, Harian Metro menyiarkan dakwaan murid OKU yang didera guru pendidikan Islam di sekolahnya hingga lebam di pipi dan kedua-dua lengannya. Zulhilmi yang menghidap ‘dyslexia’ turut mendakwa guru berkenaan akan mencubitnya apabila dia tidak dapat membaca dan ia berlaku sebelum cuti Tahun Baru Cina dan selepas sekolah dibuka selepas perayaan itu. Dia yang pada mulanya hanya mendiamkan diri apabila ditanya kesan itu akhirnya mengakui kejadian berkenaan dilakukan ustaz di sekolahnya selepas dipujuk berulang kali oleh ibunya, Che Zaini Ahmad, 45.


Bagaimanapun, ketika ditanya guru yang dimaksudkan murid itu sehari selepas kejadian, dia menafikan perkara terbabit dan mendakwa Zulhilmi mungkin terjatuh ketika di rumah.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites