Monday, May 11, 2009

Pendidik dan Guru

Rakan2, artikel ini adalah bertujuan untuk kita berkongsi ilmu dan bagi menghargai diri kita yang mempunyai kerjaya sebagai seorang guru atau pendidik. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita ambil ikhtibar dalam muhasabah diri. Semoga ini memberi manfaat kepada diri saya dan rakan2.

Pengenalan
Para Nabi a.s adalah seafdal-afdal makhluk di sisi Allah s.w.t dan diikuti oleh Ulama’ (ahli ilmu) kerana Ulama’ itu ialah pewaris para Nabi. Para Nabi a.s tidak mewariskan mereka dengan dinar atau dirham akan tetapi dengan ilmu. Rasulullah s.a.w adalah pendidik yang teragung. Baginda mendidik umatnya melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Allah s.w.t berfirman: “Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat engkau dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab (Al-Quran) dan Al Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesunguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah Al-Baqarah : 129)

Oleh itu adalah menjadi kewajipan kepada para ulama’ (ahli ilmu) untuk meneruskan tugas mendidik ummah. Allah s.w.t berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati”. (Surah Al-Baqarah: 159)Pada umumnya orang memahami bahawa seorang pendidik itu ialah seorang yang terlibat dengan kerja-kerja pendidikan atau pengajaran. Dengan ertikata lain seseorang yang terlibat dengan kerja-kerja pengajaran ilmu pengetahuan sama ada di sekolah, maktab, universiti, surau, masjid, pondok atau madrasah. Pengertian seperti ini lebih khususiah. Walau bagaimanapun proses pendidikan itu juga berlaku di mana-mana seperti di rumah, tempat permainan dan sebagainya. Oleh yang demikian tugas mendidik itu bukan hanya menjadi tanggungjawab guru di sekolah malah mereka yang terlibat sama ada secara formal atau tidak formal, terutama sekali ibu bapa atau penjaga murid itu sendiri.

Definisi
Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, pendidik ialah guru, pengasuh, wali, pemimpin pengelola, pelatih, penyelenggara, pengajar dan pemelihara.

Mengikut istilah yang digunakan oleh sarjana-sarjana Islam guru atau pendidik ialah murabbi, muallim, muaddib, ustaz, mudarris, mursyid atau ulama. Semua istilah-istilah yang digunakan bersal dari Bahasa Arab dan pada dasarnya istilah-istilah tersebut mempunyai maksud yang sama iaitu memberi pengajaran atau pendidikan. Namun terdapat beberapa pandangan yang bebeda mengenai penggunaan istilah tersebut. Ini tergantung kepada bidang ilmu yang dipelajari. Seperti istilah Ustaz dan Mudarris, dalam masyarakat Melayu, Ustaz dan Mudarris dikhususkan kepada mereka yang mengajar pelajaran agama Islam di sekolah, madrasah, masjid, pondok dan sebagainya.I

Istilah Muallim juga bermaksud pengajar, lebih menjurus kepada seorang pengajar (tidak terhad kepada guru sekolah) yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya, dan kadang kala digunakan dalam ertikata pemimpin. Berbeza dengan Murabbi, seorang Muallim lebih menumpukan kepada ilmu akal. Sementara Murabbi membawa maksud yang luas, melebihi tahap Muallim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Justeru, Murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya.

Istilah mursyid bermaksud memberi tunjuk ajar. Mursyid secara istilahnya (menurut kaum sufi), merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin murid dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah s.w.t dalam proses tarbiah yang teratur, dalam bentuk tarekat sufiyah. Para Mursyid dianggap golongan pewaris Nabi s.a.w. dalam bidang pentarbiah umat dan pemurnian jiwa mereka (tazkiyah an-nafs), yang mendapat izin irsyad (izin untuk memberi bimbingan kepada manusia) dari para mursyid mereka sebelum mereka, yang mana mereka juga mendapat izin irsyad dari mursyid sebelum mereka dan seterusnya, sehinggalah silsilah izin irsyad tersebut sampai kepada Rasulullah s.a.w. (tanpa terputus turutannya). Oleh itu pada kebiasaannya, ia daripada keturunan Ulama’.

Guru ialah segolongan orang yang menjalankan tugas ikhtisas sebagai pendidik dan pemimpin. Mereka boleh mencorakkan masa depan masyarakat dan dapat menentukan untung nasib sesebuah bangsa. (Ahmad Mohd.Salleh.2003).

Guru adalah salah satu faktor yang sangat penting dalam pendidikan dan pengajaran, kerana gurulah yang akan bertanggungjawab dalam membentuk peribadi seorang murid (H Syamsul Bahri Tanrere, 1993)

Sifat-sifat pendidik menurut Islam
# Sifat Zuhud (mendidik kerana mencari keredaan Allah). Sifat Zuhud bermakna menyampaikan pelajaran bukan kerana belasan kebendaan atau penghormatan masyarakat, tetapi kerana mencari keredhaan Allah. Namun Ini bukan bermakna kita tidak boleh menerima ganjaran dari usaha itu. Kemuncak matlamat kerja yang dilakukan seharusnya tidak diukur dengan pencapaian kebendaan kerana itu akan membahayakan peningkatan diri dan pencapaian orang yang berada di bawah didikannya.
# Kebersihan diri. Sebagai pendidik hendaklah menjauhkan diri dari kekotoran sifat-sifat mazmumah seperti bersifat angkuh, riak, hasad, pemarah dan dari kekotoran syara’ yakni melakukan perkara-perkara dosa besar dan yang diharamkan oleh Islam.
# Keikhlasan dalam bekerja, termasuklah juga sifat dedikasi.
# Mempunyai sifat halim, iaitu sifat lemah lembut, sopan santun, tidak lekas berang.
# Menjaga kehebatan dan kehormatan diri, yakni tidak melibatkan diri dengan suasana yang boleh menjatuhkan peribadi dan maruahnya sama ada dari segi pakaian , perbuatan dan percakapan.
# Perlu merasa dirinya sebagai bapa dalam menghadapi muridnya.
# Hendaklah memahami tabiat murid-muridnya dan.
# Mempunyai ilmu pengetahuan yang luas (Dr.Abdul Halim Al-Muhammady, Jurnal Pendidikan, Disember 1986).

1 comment:

ybs said...

mudah2an aku dan anda sekalian menjadi guru yg baik....

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites