Wednesday, December 3, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Salam kepada semua rakan2 yang beragama Islam,

Kita sudahpun menghampiri Hari Raya Aidil Adha yang akan disambut pada 8 November 2008. Kesempatan ini sama2lah kita mengucapkan selamat di antara satu sama lain dan yang paling penting ialah penghayatan ibadah korban itu sendiri. Bersama-sama ini disertakan beberapa soal jawab tentang ibadah korban untuk tujuan kita sama-sama mengingati sesama kita.



Ibadah korban dalam Islam

1. Apakah hukum melakukan ibadah korban?
J: Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.
Allah S.W.T berfirman;
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. - Surah al-Kautsar: ayat 2
Mengikut tafsiran ulama maksud solat atau sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.
Wallahuaklam

2: Apakah dalil yang mensyariatkan ibadah korban?
J: Dalil yang mensyariatkan ibadah korban ialah firman Allah S.W.T.;
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. - Surah al-Kautsar, ayat 2. Maksud solat ataupun sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:
“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”. Wallahuaklam

3: Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?
J: Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim. Wallahuaklam

4: Apakah hikmah korban?
J: Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim A.S. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan;
1. Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
2. Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah S.W.T kurniakan kepadanya.
3. Berkongsi merasai nikmat Allah S.W.T dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
4. Membudayakan dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban.
Wallahuaklam

5: Adakah ibadah korban dilakukan pada zaman Nabi-nabi yang terdahulu dan bagaimana ia dilaksanakan?
J: Mengikut riwayat yang boleh kita perolehi amalan ibadah korban telah dilaksanakan dari zaman Nabi Adam A.S lagi sehingga zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Secara ringkasnya sejarah perlaksanaannya adalah seperti berikut;

Pada zaman Nabi Adam A.S, peristiwa korban Habil dan Qabil menunjukkan betapa korban memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup manusia. Kisah mereka telah dinukilkan di dalam al-Quran surah al-Maidah, ayat 27.
Maksud Ayat: “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”.

Pada zaman Nabi Nuh A.S pula, setelah peristiwa taufan berlaku, Nabi Nuh menyediakan satu tempat khas untuk korban. Ada riwayat yang mengatakan bahawa haiwan korban tersebut dibakar.

Manakala pada zaman Nabi Ibrahim A.S, korban bermula dengan roti dan sebagainya, kemudian anak sapi, kambing dan biri-biri. Peristiwa penyembelihan anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail ialah ujian pengorbanan yang paling getir dihadapi oleh Nabi Ibrahim A.S. Kisah ini telah Allah rakamkan dalam al-Quran surah Ash-Shaffat, ayat 103-107.

Pada zaman Nabi Musa A.S, cara korban ialah dengan membahagikan binatang yang disediakan untuk korban kepada 2 bahagian, sebahagian dilepaskan dan sebahagian lagi disembelih.

Budaya dan amalan berkorban ini berterusan sehingga ke zaman bangsa Yunani dan Rumani, pada umumnya mereka membahagi-bahagikan daging korban kepada orang yang hadir. Semasa upacara penyembelihan, pendeta mereka memercikkan madu dan air, kemudian madu diganti dengan air mawar. Adat ini terdapat sampai sekarang. Di samping bangsa Yunani, korban dengan melakukan penyembelihan terhadap manusia juga berlaku, ini dilakukan oleh bangsa Finiki, Parsi, Rom dan bangsa Mesir kuno. Wallahuaklam

6: Bolehkah penyembelihan haiwan korban diniatkan sekali dengan aqiqah?
J: Pada hari raya korban kita disunatkan menyembelih haiwan korban, begitu juga pada hari ketujuh kelahiran seorang anak, kita dituntut melaksanakan aqiqah untuknya, jadi apabila bertemu hari raya korban bertepatan dengan hari ketujuh kelahiran anak, maka mengikut pandangan ulama mazhab Hanbali, kita boleh gabungkan niatkan perlaksanaan korban tersebut dengan niat untuk aqiqah anak, seperti mana jika bertemu hari Jumaat dengan Hari Raya, maka saudara boleh niatkan mandi sunat keduanya dengan sekali mandi sahaja. Wallahualam

7: Siapakah yang dituntut untuk melaksanakan korban?
J: Menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Korban dianjurkan ke atas seluruh umat Islam, akan tetapi tuntutan sebenar ialah kepada yang mampu, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran dalam beberapa buah hadis kepada mereka yang tidak menunaikan ibadah korban, antara hadis tersebut ialah;
Maksud hadis, “Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu), tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami.” Wallahualam

8: Apakah jenis korban yang dilarang oleh Islam?
J: Korban yang diamalkan oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun diniatkan hanya kerana Allah S.W.T, dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di samping mendapat ganjaran lain yang telah Allah S.W.T janjikan.. Oleh itu, mana-mana korban atau penyembelihan yang diniatkan kepada selain Allah S.W.T, seperti korban yang dilakukan untuk memuja sesuatu, atau untuk tujuan ilmu hitam, memuja syaitan dan sebagainya, serta tidak bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan ganjaran yang disediakan, maka ia adalah dilarang oleh Islam. Wallahualam

9 comments:

Anonymous said...

terima kasih faris kerana ingat memperingati dan tentang tazkirah ini.

aku ada satu soalan yg nak ditanya,kalu tak mau jawab pun tak apa.

soalan berkaitan dgn perkara enam tu,iaitu ttg mandi sunat yg boleh diniatkan serentak.

kalu mlm tu mlm jumaat (mlm sunat la)keesokkan hari katakan raya. boleh kah kita niat mandi wajib dan mandi sunat hari jumaat serta mandi sunat aidil adha ?satu wajib 2sunat serentak . heheheeh.

Anonymous said...

emzex, malam raya banyakkan buat amalan,dan tak digalakkan buat projek tu.Cubalah berkorban sikit.Namapun raya korban.Beri wife tu relax sikit .kan siangnya dah penat siapkan juadah raya. aku ingatkan saja......
ampun maaf dipinta jika terkasar bahasa. he.he....

Anonymous said...

Terima kasih Faris kerana beri ilmu tentang Hari Raya korban yang bakal tiba.Setidak-tidaknya untuk mengingatkan mana yang dah lupa.
Usop ,mpmn,ita dan lain2 ..U all korban apa raya ni....
Selamat Hari Raya Aidil Adha.Maaf Zahir Batin.

Anonymous said...

Terima kasih Faris.

emzex, dasat jugak kau ye....

kalau kau dah berjunub, mandi wajib jer laa, kira dapat jugak ler pahala mandi2 yg sunat tu, wallahua'lam

noris, aku korban perasaan jer... adik aku yg sdg berada di Sudan korbankan seekor lembu dan dilakukan di rumah emak kami di Parit Jawa, Muar.

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Anonymous said...

emzek..aku rasa le,semuanya sah dalam soal niat,samaada satu satu atau dua dalam satu kerana sesuai dgn sifat allah yang maha mengetahui serta diikuti dgn tertib dlm mengerjakannya.yang tak sah ialah bila tak ada niat kerana setiap amal itu mestilah bermula dgn niat..lagi tak kena ialah kalau tak mandi mandi dalam hidupnya walaupun dalam keadaan berjunub,lagi dahsyat ialah apabila tak pernah berjunub dan tak pernah mandi..eh ehe he ,manusia jenis apale ni..heheheheheh aku masih di sibu,setakat ni hanya makan ikan terubuk dar Mukah..tak berapa sedap kerana terubuk terbaik di sarawak datangnya dari kampung tebaang,Daro, tempat aku mengajar dahulu.apapun,,memang enjoy duduk di sibu ni,aku cadang nak pindah ke sibu le..barang2nya murah terutama yang smuggle.heheheheh

Anonymous said...

Hai...Usop (panggilan manja kot.)

Saya baca blog Usop ada Presmark.
boleh kongsi tak?
Kalau jalan-jalan ke Melaka singgahlah ke sekolah saya untuk dapatkan maklumat tentang Presmark tu.. Usop kan baik!
Walaubagaimanapun, selamat Hari Raya Korban.
Tahun ni... cuma korbankan tenaga, masa dan hati...

Esok, saya akan mengiringi suami ke Seri Negeri untuk menyaksikan penganugerahan darjah kebesaran kepada Shah Rukh Khan. Saya nak siapkan autograf lah.

ok, bye.

Anonymous said...

noi, presmark tu kena link dgn data emiss, baru ler akan keluar nama2 guru & staf kita. Tak pasti sama ada boleh link atau tidak dgn emiss negeri Melaka sbb presmark yg diberi pd saya ni utk kegunaan sekolah2 di Johor. Nanti ada masa saya akan singgah sekolah Noi, insyaAllah, tapi tak tahu ler bila ek?

Anonymous said...

terima kasih kepada semua yg telah berkorban memberi penjelasan. tentulah yg wajib dilakukankan dahulu.

Allah maha mengetahui, betui kata kome tu azam.

SELAMAT AIDUL ADHA.
ALLAHHUAKBAR,ALLAHHUAKBAR,ALLAHHUAKBAR .

Anonymous said...

sori ada lagi maklumat yg terlupa nak bagi tahu kawan2 semua.

ayahanda, zalila telah kembali kerahmatullah pada 6 Dis.08. marilah kita sama-sama sedekahkan alfatihah kepada arwah ayahnya...ALFATIHAH.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites