Friday, December 26, 2008

Hijrah - Selamat Menyambut Maal Hijrah

Salam kepada rakan2,

Sempena kedatangan tahun hijrah yang akan disambut pada 29 Disember ini, sama2lah kita memahami, mengerti dan menyelami maksud disebalik hijrah itu sendiri. Berikut adalah petikan daripada beberapa artikel yang dapat saya kongsi bersama dengan rakan2 sekalian.

1 MUHARAM merupakan detik permulaan dalam perkiraan tahun Islam. Detik ini menjadi sejarah dalam perjuangan Nabi Muhammad s.a.w untuk menegak, mempertahan, dan mengembangkan agama yang suci ini.

Hijrah pada zaman Nabi bukanlah semudah yang disangka. Ia berlaku akibat ancaman daripada kaum Musyrikin yang menentang dakwah Islamiah Nabi dan juga mengancam nyawa orang yang mengikut ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

“Jangan takut dan jangan bersedih! Sesungguhnya Allah bersama kita.” Itulah kata-kata semangat yang diberi oleh Rasulullah s.a.w. kepada sahabat baginda, Abu Bakar as-Siddiq ketika berhadapan dengan pelbagai halangan dan ancaman dalam perjalanan dari kota Mekah ke kota Madinah. Sesungguhnya penghijrahan itu menuntut kesabaran dan keberanian yang tinggi.

Seperti konsep hijrah Rasulullah s.a.w, pastinya perlu dilakukan bersunguh-sunguh dan sanggup menempuh jalan yang penuh risiko disamping sentiasa memohon petunjuk dan pertolongan dari Allah Taala.

Diantara konsep hijrah yang masih berlarutan:

Hijrah Iman - Iman para Anbiya tidak pernah surut malah sentiasa meningkat kerana saban waktu mereka berusaha keatas iman, sama ada untuk diri mahupun untuk menyampaikan pada orang lain, sementara iman kita sentiasa pasang-surut, dan terutamanya di zaman ini, lazimnya iman kita akan sentiasa surut kerana pengaruh duniawi, jadi untuk kita berhijrah ke arah keimanan yang lebih baik, hendaklah kita melalui usaha membersihkan sifat-sifat keji (mazmumah) dan berusaha mendapatkan sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) agar hati akan sentiasa disinari nur-nur hidayat.

Lantas usaha pertama ke arah itu adalah usaha dakwah (sebagaimana para-para Anbiya dan juga para-para Sahaba), mengajak ke arah kebaiakan dan mencegah kemungkaran mengikut kemampuan diri. Usaha yang banyak memperkatakan tentang kebesaran Allah, ciptaan-ciptaan Allah dialam-semesta. Usaha yang mengenal apa kehendak agama pada diri, keluarga dan seterusnya untuk seluruh alam.

Hijrah ilmu - sebagaimana yang diperkatakan oleh ahli hikmah, ilmu itu cahaya, jahil itu merbahaya. Kejahilan membawa padah yang buruk, kerana setiap muslim samaada lelaki atau wanita adalah diwajibkan untuk mendapatkan ilmu terutamanya ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Juga ilmu tentang kehidupan yang sehariannya, kerana dengan berilmu sahajalah, seseorang itu dapat meningkatkan kefahamannya tentang kebenaran. Ilmu yang benar adalah seperti cahaya yang menyuluh jalan di dalam kegelapan dan merupakan dalil untuk beramal.

Hijrah amal - dari amalan yang buruk kepada amalan yang baik, serta mentaati segala amalan yang diperintahkan oleh Allah seperti bersolat, berpuasa, berzakat dan seterusnya. Setiap detik hidup adalah merupakan peluang untuk melakukan amalan-amalan yang baik, kerana bilamana seseorang itu menghembuskan nafas terakhirnya, tiadalah dia berpeluang melakukan amal-solehan lagi, hatta untuk menyebut satu ayat `Subhanallah´ pun, sudah terlambat. Dan, sebaik-baik dalam melakukan amalan baik, adalah yang dilakukan beristiqamah (berkekalan). Bak kata falsafah Islam, istiqamah adalah lebih baik dari seribu karamah.

Hijrah nafsu - dari nafsu yang buruk berserakah atau nafsu yang liar kepada nafsu dapat ditundukkan dan dikawal. Nafsu adalah ibarat kuda yang liar, bila kita dapat menundukannya, dapatlah kita menunggangnya. Dari nafsu amarah bisu (nafsu liar dan jahat) kepada nafsu lawwamah dan seterusnya pada nafsu mutmainnah (nafsu yang tenang). Untuk ahli sufi, banyak peringkatnya seperti keperingkat nafsu kamilah (sempurna), tetapi kita berkata pada tahap biasa, seperti yang disebut di dalam Al- Quran, sesungguhnya mereka yang mencapai nafsu mutmainnah, mereka ini adalah termasuk golongan yang diredhai Allah dan akan dimasukkan kedalam syurgaNya.

Hijrah akhlak - dari tabiat atau berperangai buruk kepada berakhlak mulia seperti yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Iainya merangkumi segala aspek, dari sifat pemarah kepada sifat penyabar, dari sifat gopoh-gapah kepada sifat cermat. Begitu juga dari sifat-sifat atau tabiat buruk seperti rakus, hasad-dengki, menghasut atau mengumpat, tiada sikap bantu-membantu, hormat-menghormati dan lain-lain kepada cara-cara dan akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Begitulah konsep hijrah yang mana umat harus terus dalam konsep berhijrah ini sekiranya umat ini menginginkan kejayaan dunia dan akhirat. Wallahuallam.


Oleh itu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Maal Hijrah dengan semangat dan azam yang baru.
Sekian, terima kasih.

2 comments:

Anonymous said...

Selamat menyambut maal hijrah kepada semua kekawan muslim!

Anonymous said...

Selamat menyambut maal hijrah!

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites