Thursday, May 5, 2011

Bahan kertas kerja perlu dibukukan

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/05/05

PESERTA Seminar Pengurusan Kewangan UMS di Taman Kinabalu Kundasang, Sabah.
PESERTA Seminar Pengurusan Kewangan UMS di Taman Kinabalu Kundasang, Sabah.
KERTAS kerja yang dibentangkan dalam seminar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hanya memberi pengetahuan kepada peserta, sekiranya bahan ilmiah itu tidak diterbitkan dalam bentuk buku atau jurnal.

Sehubungan itu, pelajar masa kini perlu membudayakan gaya hidup membukukan kertas kerja yang dibentangkan sebagai rujukan siswa dan siswi akan datang.
Pelajar Sarjana Pengurusan Pendidikan, Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, Sabah, Rosland Taib, 36, berpendapat ilmu yang disampaikan penceramah hanya sia-sia jika tiada usaha untuk mengumpul dan menerbitkan bahan ceramah terbabit.
Katanya, tidak semua ilmu yang disampaikan boleh diperoleh dalam buku atau Internet, sebaliknya banyak fakta ilmiah berkenaan ialah hasil kajian dan pengalaman penceramah mengikut kepakaran mereka masing-masing.

Beliau berkata, menyedari hakikat itulah beliau bersama 35 rakan seperjuangannya mahu menerbitkan buku hasil dapatan pada Seminar Pengurusan Kewangan anjuran Pelajar Sarjana Pengurusan Pendidikan SPPS UMS di Taman Kinabalu Kundasang, Ranau, Sabah, baru-baru ini.

Cadangan membukukan kertas kerja yang dibentangkan pada sesuatu seminar itu dicadangkan pensyarah kanan SPPS UMS, Dr Shukri Zain ketika merasmikan seminar sehari berkenaan.

Beliau turut mengumumkan pihak UMS menyokong penuh komitmen kumpulan pelajar Sarjana Pengurusan Pendidikan UMS menganjurkan seminar yang bermanfaat itu.
Seminar berkenaan berjaya mendedahkan pelajar mengenai peranan, fungsi dan amalan organisasi pendidikan dalam pengurusan kewangan sekolah dan jabatan.

Rosland berkata, menguasai kemahiran mengurus kewangan sektor kerajaan ialah aspek yang sangat penting bagi kakitangan awam terutama yang terbabit secara langsung dengan amanah berkenaan.

Begitu juga di sekolah, setiap guru perlu mengetahui tatacara pengurusan kewangan bagi memudahkan sebarang aktiviti sekolah yang membabitkan tadbir urus perbelanjaan.

Dalam pada itu, Dr Shukri berkata, usaha murni kumpulan pelajar terbabit akan menjadi panduan kepada rakan mereka yang lain kerana ilmu bukan semata-mata diperoleh dari dalam bilik kuliah.

Katanya, ilmu juga boleh ditimba menerusi pengalaman mengurus program luar seperti mempraktikkan teori pengurusan yang dipelajari dalam bilik kuliah.

“Saya percaya seminar ini berupaya memantapkan pengetahuan pelajar untuk dijadikan pedoman ketika mereka menjalankan amanah mendidik di sekolah rendah atau menengah,” katanya.

Pengarah Taman Kinabalu Kundasang, Justinus Guntabid, berkata SPPS UMS turut mencipta sejarah sebagai institusi pendidikan yang pertama menjalankan program di situ sejak ia beroperasi pada 1994.

“Kami mengalu-alukan pensyarah dan pelajar UMS serta universiti lain untuk menjalankan kegiatan, kajian serta penyelidikan dan pembangunan di Taman Kinabalu Kundasang,” katanya

1 comment:

jm said...

edar dalam bentuk softcopy pun ok kan

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites