Wednesday, July 29, 2009
Kenali H1N1 dan Ambil Langkah Berjaga-jaga
Keadaan di negara kita sekarang semakin hebat dan gawat dengan serangan virus Influenza A (H1N1). Sekarang angka kematian telah menjangkau 4 orang di Malaysia dan semakin banyak institusi terpaksa ditutup dan penguatkuasaan kuarantin. Oleh itu saya mengambil kesempatan disini untuk sama2 kita berkongsi maklumat dan mengenali simpton2 yang akan membantu kita membuat keputusan yang tepat apabila ia berlaku di sekolah kita. Kepada rakan2 yang telah mengalaminya terutama saudara Aziz kita diharap dapat memberi tips2 berguna untuk kita bertindak sekiranya berlaku serangan virus ini.
ABSTRAK
Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO) pada 24 April 2009 telah mengisytiharkan krisis kecemasan kesihatan antarabangsa ekoran merebaknya wabak Virus Influenza A (H1N1) (Selesema Babi atau Swine Flu) bagi memberi amaran wabak yang dianggap makin mencemaskan dan berpotensi untuk menjadi pusat ‘pandemik’ atau wabak yang akan merebak. Selesema babi yang disebarkan oleh manusia ini telah mencetuskan keadaan panik di seluruh dunia terutamanya di Mexico dan Amerika Syarikat (AS). Sehingga 6 Mei 2009, wabak ini telah mengorbankan 29 orang di Mexico, 2 orang di United State (US), 1786 orang telah disahkan dijangkiti dan lebih 4169 orang disyaki dijangkiti di seluruh dunia. Jumlah kematian dan mereka yang dijangkiti meningkat dari semasa ke semasa dan amat dikhuatiri merebak ke Negara ini.
PENGENALAN
Demam Virus Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit sistem pernafasan (respiratory) yang biasanya ditemui dalam kawanan babi. Virus Influenza A (H1N1) atau demam babi ini biasanya berlegar dalam spesies babi sahaja dan tidak menjangkiti manusia. Namun jangkitan terhadap manusia telah berlaku dan penyebaran virus ini dalam kalangan manusia telah mula dikesan sejak tahun 1988.
Apakah Virus Influenza A (H1N1)?
Virus Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit respiratory yang ditemui dalam kawanan babi disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selesema babi ini dikesan saban tahun dan biasanya terjadinya kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan babi. Manusia biasanya tidak dijangkiti oleh virus ini tetapi jangkitan terhadap manusia telah dikesan. Virus selesema babi telah dilaporkan merebak dari manusia ke manusia lain. Tetapi pada masa lepas, pemindahan virus ini adalah terhad dan menjangkiti sehingga tiga orang sahaja.
Adakah Terdapat Jangkitan Demam Virus Influenza A (H1N1) di US?
Pada akhir Mac dan awal April 2009, beberapa kes jangkitan virus ini (H1N1) terhadap manusia telah dilaporkan di Southern California berdekatan San Antonio, Texas. Beberapa negeri lain di US juga telah melaporkan jangkitan yang sama pada manusia dan juga telah dilaporkan di peringkat antarabangsa. (Perkembangan terkini mengesahkan bilangan jangkitan virus di Amerika Syarikat boleh di dapati di http://www.cdc.gov/swineflu/investigation.htm. Pusat pencegahan dan kawalan penyakit (CDC - Centers for diseases control and prevention dan Jabatan serta agensi kesihatan sedang bekerjasama dalam menyiasat situasi ini).
Adakah Virus Ini Berjangkit?
CDC telah mengesahkan bahawa virus ini (H1N1) adalah berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang manusia lain. Walau bagaimanapun masih belum diketahui cara dan bagaimana mudahnya jangkitan ini terjadi.
Apakah Tanda-tanda dan Simptom Virus Influenza A (H1N1) Terhadap Manusia?
Simptom Virus Influenza A (H1N1) ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan.
Pada masa yang lepas, beberapa penyakit (kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan) dan kematian telah dilaporkan dengan jangkitan selesema babi dalam manusia. Seperti virus selesema bermusim, selesema babi boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik.
Bagaimanakah Selesema Burung Merebak?
Virus jenis A (H1N1) selesema burung ini dijangka akan merebak seperti mana virus selesema bermusim lain. Virus selesema ini biasanya disebarkan dari seorang ke seorang yang lain melalui batuk dan bersin mereka yang terkena jangkitan. Kadang-kadang seseorang itu boleh dijangkiti melalui barang yang disentuh dengan tangan dan kemudiannya menyentuh mulut dan hidung mereka.
Bagaimanakah Seseorang Yang Dijangkiti Selesema Menjangkiti Seorang Lain?
Seseorang yang dijangkiti mungkin boleh menjangkiti seorang lain bermula sehari sebelum simptom itu merebak hingga ke hari ke-7 selepas dijangkiti (sakit). Ini bermakna kita mungkin boleh menyebarkan virus ini sebelum mengetahui yang kita telah dijangkiti.
Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dijangkiti Selesema?
Perkara yang terpenting sekali adalah membasuh tangan. Cuba untuk berada pada tahap yang paling sihat. Dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa aktif, menangani tekanan, minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Cuba mengelak dari menyentuh tempat yang dicemari dengan virus. Mengelak hubungan dengan mereka yang sakit.
Adakah Terdapat Ubat Untuk Virus Influenza A (H1N1) Ini?
CDC menyarankan pengambilan ubat seperti oseltamivir atau zanamivir untuk merawat dan/atau mencegah jangkitan virus selesema babi ini. Ubat antiviral adalah ubat-ubatan berpreskripsi (pil, cecair ataupun ubat sedut) yang melawan virus dari terus membiak di dalam badan anda.
Jika anda jatuh sakit, ubat antiviral akan dapat melegakan dan membuat anda sihat dengan lebih cepat. Ia juga dapat mencegah dari komplikasi selesema yang lebih serius. . Untuk tujuan rawatan, ubat antiviral adalah lebih berkesan untuk diambil sebaik sahaja jatuh sakit (dalam dua hari selepas simptom).
Berapa Lama yang Diambil oleh Seseorang yang Dijangkiti dengan Selesema Burung Untuk Menyebarkan Kepada Orang Lain?
Mereka yang dijangkiti dengan virus ini boleh dikira sebagai pembawa virus selagi mereka di dalam simptom sehingga tujuh hari dari bermula sakit. Kanak-kanak, terutama anak-anak kecil berpotensi untuk dijangkiti untuk jangka masa yang lebih lama.
Apakah Kawasan-kawasan Yang Berkemungkinan Sebagai Tempat Yang Dicemari?
Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh sesuatu yang dicemari dengan kuman dan menyentuh pula mata, mulut dan hidung mereka. Titisan rembesan dari batuk dan bersin dari mereka yang dijangkiti boleh bergerak melalui udara. Kuman boleh merebak apabila seseorang itu menyentuh titisan rembesan batuk dan bersin dari seorang di atas permukaan seperti meja dan permukaan lain dan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum membasuh tangan mereka.
Berapa Lama Virus Tersebut Boleh Hidup Di Luar Badan?
Seperti yang diketahui sesetengah virus dan dapat hidup sehingga lebih dua jam di permukaan seperti meja kafeteria, tombol pintu dan meja. Membasuh tangan dengan kerap akan mengurangkan kesan pencemaran yang didapati dari permukaan-permukaan ini.
Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dihinggapi Penyakit?
Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari selesema babi ini. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan anda:
• Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.
• Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan.
• Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.
• Jika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.
Apakah Cara Terbaik Untuk Mengelak Dari Menyebarkan Virus Melalui Batuk Dan Bersin?
• Jika anda sakit, hadkan pergaulan anda sebaik yang mungkin.
• Jangan pergi ke sekolah;
• Tutup mulut anda dengan tisu semasa batuk dan bersin. Ia boleh membantu mengelak orang-orang di sekeliling kamu dari jatuh sakit;
• Buangkan tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah;
• Tutup mulut anda semasa bersin dan batuk jika tiada tisu;
• Basuhlah tangan kamu setiap kali batuk dan bersin.
Apakah Teknik Terbaik Untuk Mencuci Tangan Dan Mengelak Dari Jangkitan Selesema?
Membasuh tangan dengan kerap akan membantu melindungi anda daripada kuman. Basuhlah dengan sabun dan air ataupun pembersih tangan berasaskan alcohol. Basuhlah tangan antara 15 ke 20 saat dengan air suam dan sabun. Jika tiada air dan sabun, tisu pakai buang berasaskan alcohol atau pembersih gel boleh digunakan. Ianya boleh didapati di kedai-kedai ubat dan pasar raya. Jika menggunakan gel, sapulah tangan anda sehingga gel itu kering. Alkohol di dalam gel tadi akan membunuh kuman dan ianya tidak memerlukan air untuk berkesan.
Apa Yang Perlu Saya Lakukan Jika Jatuh Sakit?
Jika anda tinggal di kawasan yang dikenal pasti wabak Virus Influenza A (H1N1) itu merebak dan mempunyai simptom-simptom demam selesema termasuk demam panas, sakit badan, selesema, sakit tekak, muntah mual dan cirit-birit, anda perlu berjumpa dengan doktor, terutamanya jika anda risau tentang simptom-simptom tadi. Doktor akan mengesahkan sama ada sebarang ujian atau rawatan adalah perlu.
Jika anda sakit anda perlu:-
• Tinggal di rumah dan mengelak hubungan dengan orang lain sebaik mungkin untuk mengelak jangkitan;
• Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit;
Untuk kanak-kanak tanda-tanda dan perlu dibawa untuk dirawat adalah seperti berikut:-
• Kesukaran bernafas dan pernafasan yang terlalu cepat;
• Warna kulit bertukar kebiru-biruan;
• Tidak minum air yang secukupnya;
• Tidak bangun dan berinteraksi;
• Tidak suka dipegang dan asyik merengek;
• Simptom seperti selesema dan pulih tetapi kemudiannya berulang bersama demam dan batuk yang lebih teruk;
• Demam dan beruam.
Bagaimana Seriusnya Jangkitan Virus Influenza A (H1N1) ini?
Seperti demam selesema yang lain, kesan selesema babi (Virus Influenza A) (H1N1) pada manusia adalah berbeza dari tahap sederhana ke tahap serius. Antara 2005 hingga Januari 2009, 12 kes jangkitan pada manusia tanpa kematian dikenal pasti di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun kesan dari selesema babi ini boleh menjadi serius. Pada September 1988, seorang wanita mengandung berumur 32 tahun dari Wisconsin dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru akibat selesema babi dan meninggal dunia 8 hari kemudian. Pada tahun 1976, wabak selesema babi dikesan di Fort Dix, New Jersey mengakibatkan lebih 200 kes serius dan satu kematian.
Bolehkah Saya Dijangkiti Melalui Memakan Dan Menyediakan Masakan Berasaskan Babi?
• Tidak.
Selesema babi tidak boleh merebak melalui makanan. Ianya tidak boleh dijangkiti melalui makanan dan produk berasaskan babi. Memakan produk berasaskan babi yang dimasak dan disediakan dengan sempurna.
TINDAKAN SERTA-MERTA KEMENTERIAN KESIHATAN
• Kementerian Kesihatan menguat kuasa serta-merta empat langkah pencegahan:-
i. Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak Virus Influenza A (H1N1) dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.
ii. Semua Pengamal Perubatan termasuk di sektor swasta yang merawat kes-kes yang mempunyai tanda-tanda atau gejala ‘influenza-like illness’ atau ‘severe pneumonia’ dan mempunyai sejarah melawat Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009 diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan serta merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.
iii. Saringan tanda-tanda jangkitan Virus Influenza A (H1N1) di semua pintu masuk negara untuk pelawat atau warga Malaysia yang ada melawat ke negara Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009.
iv. Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi wabak Virus Influenza A (H1N1) untuk maklumat orang awam di Malaysia dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh Kerajaan.
• Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan pada Sidang Media pada 26 April 2009 mengenai wabak berkenaan amat berbahaya kerana ia tersebar melalui manusia bukannya haiwan seperti selesema burung atau ‘avian flu’ yang pernah melanda negara ini.
• Beliau bagaimanapun meminta rakyat negara ini supaya tidak panik kerana Kerajaan sentiasa berwaspada terhadap apa jua wabak yang boleh menyebabkan kematian.
• Pengawasan itu membabitkan pemeriksaan kesihatan terhadap orang ramai antaranya mereka yang menunjukkan tanda-tanda demam panas.
• Pengawasan di semua pintu masuk negara diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak selesema babi dari merebak ke dalam negara terutama penumpang penerbangan dari luar negara termasuk AS.
• Orang awam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan wabak Virus Influenza A (H1N1) ini boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 pada waktu pejabat atau di laman web Kementerian http://www.moh.gov.my
Monday, July 27, 2009
Anak Yusof Sipan Selamat Menjalani Pembedahan
Petang tadi saya berkesempatan ke Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur sekitar jam 3.30 petang sehingga 6.15 petang. Menurut saudara Yusof, anaknya menjalani pembedahan pukul 9.00 pagi tadi selama hampir 2 jam. Alhamdulillah kerana segala2nya selamat. Sama2lah kita doakan semoga anaknya cepat sembuh. Kepada sesiapa rakan yang ingin menziarahinya bolehlah ke Institut Pediatrik, Wad KK7, Bilik No. 3 dan katil No. 4. Saya tak pasti berapa lama saudara Yusof dan isterinya akan berada di HKL.
Bersama2 ini saya sertakan gambar yang dapat diabadikan sewaktu lawatan saya. Amin Ya Rabbal AlAmin.

Sunday, July 26, 2009
Selamat Bertemuduga Rakan2 Minggu Ini (27 - 31 Julai 2009)
1. Ismail b. Kassim - 28 Julai 2009
- Mail, study lebih2 sikit. Wirid, tahlil dan doa banyak2 Tok Imam.
2. Joni b. Mohamad - 28 Julai 2009
- Cakap oghang putih sikit, baru kena dgn nama tu.
3. Khadijah bt. Sulaiman - 28 Julai 2009
- Boleh citer pasal sekolah banyak2 sikit tentang kejayaan yang ditempuhi.
4. Sabri b. Abidin Sulung - 28 Julai 2009
- Kau mesti cakap lebih dari 30 minit. Biar sampai panel suruh berhenti.
5. Khatijah bt. Abu Bakar - 28 Julai 2009
- Jangan takut2. Relaks dan tenangkan fikiran. Kurangkan sikit kecek Ganu tu.
6. Aishah bt. Mahmood - 29 Julai 2009
- Kalau baca teori tu jgn banyak2 sangat. Study pun jangan sampai tak tidur. Soalan biasa2 aje. Relaks......
7. Norazmah bt. Shuib - 30 Julai 2009
- Hang jawab apa yang ditanya.
8. Zalila bt. Idris - 30 Julai 2009
- Hang boleh jawab semua soalan. Cetusan idea dari pengalaman amat penting. Luahkan apa yang telah dibuat untuk memajukan sekolah.
9. Mohd Zulkifli b. Mohd Zain - 31 Julai 2009
- Hang pakai drebar tak hari gi temuduga. YB mesti ada style, biar panel terkejut. Don't worry, tak ada soalan yang mengusarkan kecuali kalau panelnya adalah India seperti geng2 Kedah kena tu dan juga Anas kena di Sabah.
Minggu ini ramai geng Ganu kita dan Penang Mai. Aishah sorang aje dari Selatan.
Puuhhh... kiri... puuhhh .... kanan.... Kah kah kah.... rileks rakan2.
Saturday, July 25, 2009
Sekolah Seni KPM 2010
PANDUAN DAN SYARAT KEMASUKAN TINGKATAN SATU ( 1 )
SYARAT KEMASUKAN
Kemasukan murid adalah berdasarkan syarat-syarat di bawah ;
* Warganegara Malaysia; dan
* Berbakat dan potensi dalam bidang kesenian ( seni visual, seni tari, seni Muzik, seni teater ); dan
* Lulus ujian bakat ; dan
* Lulus semua mata pelajaran dengan minimum 3B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah 2009
Kaedah Pengambilan :
Kemasukan ke sekolah seni boleh di pertimbangkan melalui dua ( 2 ) saluran permohonan iaitu :
Saluran Pertama :
- Permohonan melalui Jabatan Pendidikan Negeri.
Saluran Kedua :
Permohonan terus kepada KPM melalui :
* Permohonan ibu bapa;
* Cadangan oleh badan kesenian negeri atau kebangsaan.
Download Borang Permohonan Sekolah Seni 2010
Terima kasih.
TEKS UCAPAN - Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Dan Mesyuarat Agung Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia
- Pertama, mengamalkan prinsip kepimpinan yang terbuka, proaktif dan responsif terhadap tuntutan-tuntutan baru dan mengamalkan pendekatan mengutamakan pelanggan.
- Kedua, mengekalkan perpaduan dalam kesatuan dan tidak berkompromi dengan anasir yang boleh memecahkan kesatuan.
- Ketiga, mempamerkan semangat kebangsaan yang jitu dan pemahaman yang tulen terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
- Keempat, melaksanakan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) dalam setiap urusan bagi mengutamakan prestasi.
- Kelima, menambah nilai akademik dan profesional yang berterusan supaya menjadi pemimpin yang beketrampilan dan sentiasa berdaya saing.
- Keenam, memberikan sumbangan bermakna dalam meningkatkan kehidupan moral dan cendiakawan masyarakat melalui penyebaran maklumat dan gerakan pembaharuan sosial yang dinamik.
- Ketujuh, mencetuskan kebijaksanaan baru (new wisdom) untuk membangunkan masyarakat secara lebih menyeluruh dan mampan.
TEKS UCAPAN - Majlis Perjumpaan Khas YAB Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HJ. MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PERJUMPAAN KHAS YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA PENDIDIK
PADA 21 JULAI 2009, PUKUL 9.00 PAGI BERTEMPAT DI PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTER (PICC)
YB Datuk Dr. Wee Ka Siong,
Timbalan Menteri Pelajaran 1.
YB. Dr. Mohd. Puad Zarkashi,
Timbalan Menteri Pelajaran II.
Y. Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain Bin Hj. Awang
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia
Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin Bin Hj. Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri.
Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan warga pendidik yang saya hormati sekalian.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
1. Pertama sekali saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya saya dapat bersama-sama dengan warga pendidik dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan pada pagi ini. Terima kasih saya ucapkan kepada tuan-tuan yang sudi meluangkan masa untuk hadir pada majlis ini yang memberi peluang kepada saya untuk membuat penjelasan mengenai beberapa pengumuman yang telah saya buat baru-baru ini berkaitan dengan dasar pendidikan di negara kita.
2. Sejak memegang tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri lebih 100 hari yang lepas, saya sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul sememangnya amat mencabar, apatah lagi apabila Kementerian Pelajaran juga merupakan teras utama tugas saya. Namun, saya juga sedar bahawa tugas paling mencabar yang telah diamanahkan oleh YAB Perdana Menteri ini merupakan satu penghormatan yang amat tinggi kepada saya. Menerajui sebuah kementerian yang bertanggungjawab dalam menjana modal insan negara sesungguhnya menuntut pewujudan sinergi mantap semua pihak, khasnya di kalangan warga pendidik, untuk bersama-sama meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.
3. Dalam memastikan sistem pendidikan sesebuah negara sentiasa relevan, Kerajaan perlu terus mengkaji dan menilai dasar pendidikan sedia ada. Justeru penggubalan dan pengumuman dasar-dasar dan strategi-strategi baru ke arah penambahbaikan sistem pendidikan yang berterusan bagi kepentingan negara dan rakyat perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Oleh yang demikian, selaras dengan gagasan yang telah diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri kita iaitu “1 Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”, maka beberapa dasar baru telah diperkenalkan, antaranya adalah penetapan had 10 mata pelajaran untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, pemerkasaan sukan sekolah, cadangan Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus untuk SPM dan pemansuhan PPSMI mulai tahun 2012.
4. Sehubungan itu, adalah amat penting bagi kita khasnya warga pendidik untuk memahami dan menghayati dasar-dasar baru yang telah diumumkan. Hanya dengan pemahaman yang mendalam, barulah kita warga pendidik dapat sebulat suara memberikan penjelasan kepada masyarakat umum agar ia tidak disalah tafsir dan dijadikan isu politik dangkal yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat kepada sistem pendidikan negara. Adalah lumrah bagi sesetengah kumpulan masyarakat sukar menerima sesuatu perubahan yang dicadangkan. Malahan, sebarang pembaharuan yang diperkenalkan di mana-mana tahap sekalipun akan sentiasa dipertikaikan.
5. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan kepada tuan-tuan dan puan-puan berkenaan dengan beberapa pengumuman yang telah saya buat mengenai dasar dan strategi pendidikan di negara kita baru-baru ini. Pertamanya ialah penetapan had 10 mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula pada tahun 2010. Keputusan ini diambil setelah kerajaan mempertimbangkan implikasi trend di kalangan pelajar pada masa kini untuk mengambil jumlah mata pelajaran yang terlalu banyak dalam peperiksaan SPM. Sebagai contoh, bagi peperiksaan SPM pada tahun ini, seramai 48,784 atau 11.68 peratus calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran mendaftar lebih daripada 10 mata pelajaran.
6. Trend ini adalah tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk melakukan anjakan dalam sistem pendidikan kita, iaitu daripada sistem yang berorientasikan peperiksaan kepada sistem yang berorientasikan pentaksiran yang lebih menyeluruh, sejajar dengan amalan di negara-negara maju. Sistem pendidikan di negara kita tidak wajar dijadikan tempat perlumbaan untuk menguji keupayaan pelajar mengutip sebanyak mungkin pangkat A dalam sesuatu peperiksaan sehingga mengabaikan perkembangan potensi mereka secara holistik.
7. Keputusan mengehadkan 10 mata pelajaran ini adalah selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sementara pencapaian dalam peperiksaan boleh mengukur keupayaan kognitif pelajar, aspek soft-skills yang penting untuk meningkatkan daya kebolehkerjaan (employability) dan kebolehpasaran (marketability) pelajar kita dalam era globalisasi yang lebih kompleks dan kompetitif pada hari ini hanya boleh dinilai melalui satu sistem pentaksiran yang lebih menyeluruh. Oleh itu, Kementerian Pelajaran pada masa ini sedang dalam proses memperkenalkan satu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan yang bukan sahaja mengukur aspek keupayaan kognitif pelajar, tetapi juga aspek soft-skills yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti bina upaya insan (human capacity building) selaras dengan amalan di negara-negara maju.
8. Di samping itu, pihak Kementerian juga telah membuat penelitian secara terperinci dan mendapati bahawa jumlah 10 mata pelajaran adalah lebih daripada mencukupi untuk menilai potensi dan kemampuan sebenar pelajar untuk menguasai ilmu-ilmu teras yang penting dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Sesungguhnya, keputusan mengehadkan 10 mata pelajaran ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha kita untuk membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020.
9. Dengan mengehadkan 10 mata pelajaran bagi peperiksaan SPM, Kerajaan berharap agar tekanan peperiksaan yang berlebihan ke atas pelajar akan dapat dikurangkan, di samping memberi ruang kepada pihak pihak sekolah untuk mempergiatkan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dan sukan di luar waktu belajar. Aktiviti-aktiviti ini adalah penting untuk menggarap soft-skills para pelajar sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan potensi pelajar secara holistik. Sehubungan dengan ini juga, saya telah membuat pengumuman mengenai pemerkasaan semula sukan sekolah dengan mempergiatkan acara sukan peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Jurulatih sukan akan ditempatkan di sekolah-sekolah untuk mengurus acara sukan sekolah dan mencungkil bakat-bakat baru yang boleh dilatih untuk menyertai sukan prestasi tinggi. Untuk tujuan ini, satu Institut Pendidikan Guru khusus untuk melatih jurulatih-jurulatih sukan sekolah akan ditubuhkan.
10. Perkara Kedua ialah cadangan menetapkan syarat wajib lulus bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Saya menerima pelbagai maklumbalas daripada masyarakat umum sejak saya melontarkan cadangan ini pada bulan Jun yang lalu. Pada dasarnya ramai yang bersetuju dengan cadangan ini. Mereka berpandangan bahawa hanya dengan cara ini sahaja kita dapat memastikan pelajar-pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing dalam alam pekerjaan yang mementingkan penguasaan lebih daripada satu bahasa, iaitu bahasa Inggeris selain daripada Bahasa Kebangsaan atau bahasa ibunda yang lain.
11. Penguasaan bahasa Inggeris yang baik sudah tentu akan memberikan nilai tambah kepada palajar-pelajar kita untuk menceburkan diri dalam sektor ekonomi berpendapatan tinggi. Kerajaan juga sedar bahawa mempunyai sumber manusia yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik juga merupakan satu nilai tambah kepada negara dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang lebih kompetitif.
12. Oleh kerana itu, saya percaya bahawa sudah sampai masanya semua pelajar kita dipastikan dapat menguasai asas-asas bahasa Inggeris yang merupakan bahasa ilmu, bahasa maklumat, bahasa perdagangan dan bahasa komunikasi antarabangsa. Jika mereka dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, sudah tentulah mereka akan mendapat banyak kelebihan untuk bersaing dalam era globalisasi yang lebih kompetitif pada hari ini. Dengan meletakkan syarat wajib lulus bahasa Inggeris, Kerajaan berharap agar para pelajar akan melonjakkan usaha untuk lebih tekun mempelajari bahasa Inggeris dan berusaha dengan lebih gigih dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.
13. Pada masa yang sama, ada juga pihak yang melahirkan kebimbangan jika cadangan ini dilaksanakan sekarang, ramai pelajar terutamanya di luar bandar akan terkandas dalam pelajaran. Dalam peperiksaan SPM tahun 2008 misalnya, hanya 26.9 peratus calon di luar bandar yang lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ini bermakna 73.1 peratus pelajar di luar bandar akan gagal memperolehi sijil sekiranya syarat wajib lulus bahasa Inggeris dilaksanakan. Kerajaan sedar bahawa ini adalah satu jumlah yang besar, dan ia juga menunjukkan bahawa pencapaian bahasa Inggeris pelajar-pelajar di luar bandar adalah amat rendah.
14. Dalam menghadapi cabaran era globalisasi yang semakin kompetitif pada hari ini, kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang, melayani pandangan kedua dan berhenti daripada melakukan perubahan dan pembaikan. Kita tidak boleh mengambil pendekatan “levelling down” dalam usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara kita. Sebaliknya, kita perlu berani untuk mengambil pendekatan “levelling up”, iaitu berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan keupayaan pelajar-pelajar yang lemah dalam menguasai sesuatu ilmu, sehingga mereka boleh menguasai ilmu itu dengan baik. Jika kita yakin bahawa perubahan dan pembaikan adalah penting untuk meningkatkan mutu pendidikan negara, dan sekali gus melonjakkan kemajuan negara pada masa hadapan, kita perlu berani melakukannya sekarang.
15. Dalam konteks penguasan bahasa Inggeris, syarat wajib lulus bahasa Inggeris adalah usaha “levelling up” yang akan mengangkat upaya pelajar-pelajar kita, terutamanya pelajar-pelajar di luar bandar, untuk menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik, dan sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam dunia yang semakin kompetitif. Walaupun Kerajaan masih belum membuat keputusan akhir mengenai perkara ini, usaha-usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, terutamanya di kalangan pelajar di luar bandar mesti bermula dari sekarang.
16. Perkara ketiga yang ingin saya sentuh pada hari ini ialah keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012, dan pada masa yang sama mengambil langkah-langkah drastik untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Pemansuhan PPSMI ini walau bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi. Keputusan ini adalah lambang iltizam dan komitmen Kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita dengan mengambil langkah-langkah yang wajar untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, dan pada masa yang sama memantapkan penguasaan bahasa Inggeris.
17. Dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, dan bahasa Cina dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran ini. Strategi Ini mengambil kira fakta yang disokong oleh kajian-kajian saintifik bahawa peningkatan kefahaman pelajar mengenai konsep-konsep sains dan matematik adalah berkait rapat dengan penggunaan bahasa pengantar yang mudah difahami oleh mereka. Pada masa yang sama, kita percaya bahawa peningkatan penguasaan bahasa Inggeris boleh dicapai melalui penambahbaikan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
18. Pada kesempatan ini saya ingin mengemukakan data-data emprikal yang menjadi asas kepada keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI. Pertama, data-data rasmi menunjukkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik merosot semasa pelaksanaan PPSMI. Dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2008, hanya 79.7 peratus pelajar luar bandar lulus mata pelajaran Sains berbanding 83.2 peratus pada tahun 2007. Bagi pelajar bandar pula, peratusan lulus telah merosot daripada 85.1 peratus pada tahun 2007 kepada 82.5 peratus pada tahun 2008.
19. Bagi mata pelajaran Matematik pula, pencapaian lulus murid di bandar telah merosot daripada 84.8 peratus pada tahun 2007 kepada 80.9 peratus pada tahun 2008. Pencapaian murid di luar bandar juga merosot daripada 80.9 peratus pada tahun 2007 kepada 77 peratus pada tahun 2008. Ini bermakna hampir 170,000 orang pelajar gagal bagi kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Sains di peringkat UPSR semasa PPSMI dilaksanakan.
20. Kegagalan menguasai Matematik dan Sains di peringkat rendah sudah tentu akan menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar ini dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut di peringkat menengah, dan sekali gus menjejaskan hasrat kita untuk menjana modal insan yang memiliki ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi, sebagai wahana penting untuk melonjakkan kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi.
21. Kedua, kajian dan pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran dan juga para penyelidik bebas mendapati bahawa pelajar yang memiliki tahap penguasaan bahasa Inggeris yang sederhana dan lemah menghadapi kesukaran untuk memahami mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dalam peperiksaan UPSR 2008, 30.6 peratus pelajar luar bandar gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka masih berada di tahap yang lemah. Ini menyebabkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.
22. Hasil pemantauan Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru menghadapi masalah untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Hanya 8.6 peratus guru menggunakan lebih 90 peratus masa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris adalah jauh lebih rendah bagi sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Inggeris yang amat rendah di kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman. Keadaan ini memaksa guru-guru untuk menggunakan dwi-bahasa, iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, dalam pengajaran Sains dan Matematik. Soalan peperiksaan juga terpaksa dibuat dalam dwi-bahasa kerana masalah penguasaan bahasa Inggeris yang rendah di kalangan pelajar. Justeru, apa yang dilaksanakan sejak enam tahun yang lalu bukanlah PPSMI, tetapi PPSMI/BM. Guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Hanya segelintir pelajar yang dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dengan baik, dan mereka ini ialah pelajar-pelajar yang telah menguasai bahasa Inggeris dengan cemerlang. Berdasarkan pemantauan Kementerian Pelajaran, kelompok pelajar ini tidak lebih 8 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar di negara ini.
23. Berdasarkan realiti ini, Kerajaan berpandangan bahawa sekiranya dasar PPSMI diteruskan, majoriti pelajar yang sederhana dan lemah dalam menguasai bahasa Inggeris akan mengalami double jeopardy. Kajian saintifik menunjukkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mereka tidak meningkat, dan pada masa yang sama mereka juga gagal menguasai konsep-konsep asas Sains dan Matematik. Sekiranya keadaan ini berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi knowledge deficit di kalangan pelajar, di mana pelajar-pelajar yang gagal menguasai konsep-konsep asas sains dan matematik oleh kerana halangan bahasa, akan menghadapi masalah untuk menguasai ilmu Sains dan Matematik di peringkat yang lebih tinggi. Keadaan ini tentunya akan mendatangkan kesan negatif kepada pembangunan modal insan di negara kita dalam jangkamasa panjang.
24. Ketiga, kajian di peringkat antarabangsa, termasuk oleh UNESCO, yang memperakukan bahawa bahasa yang mudah difahami oleh pelajar, seperti bahasa ibunda, adalah bahasa terbaik untuk dijadikan bahasa pengantar, terutamanya di peringkat rendah. Laporan Education for All Global Monitoring Report 2009 yang dikelolakan oleh UNESCO memperakukan kepentingan menyediakan pendidikan dalam bahasa ibunda sebagai kunci kepada kejayaan pendidikan. Laporan ini memetik satu kajian yang melibatkan 22 buah negara dan 160 kumpulan linguistik yang mendapati bahawa kehadiran murid ke sekolah meningkat sebanyak 10 peratus bagi sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, khususnya di peringkat pendidikan rendah.
25. Dapatan ini adalah selari dengan dapatan yang diperolehi oleh kumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendapati bahawa kebanyakan pelajar yang lemah dan sederhana dalam menguasai bahasa Inggeris, terutamanya di kawasan luar bandar, tidak menunjukkan minat untuk mempelajari Matematik dan Sains ketika dasar PPSMI dilaksanakan.
26. Selain daripada itu, laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 (TIMMS) juga mendapati bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding negara-negara yang tidak menggunakan bahasa ibunda. Lebih daripada itu, UNESCO juga memperakukan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda adalah faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian matlamat Education for All, iaitu matlamat untuk menyediakan akses, ekuiti dan kualiti dalam pendidikan kepada semua tanpa mengira perbezaan bahasa, lokaliti, taraf sosio-ekonomi dan gender.
27. Berdasarkan dapatan-dapatan ini, Kerajaan yakin bahawa keputusan memansuhkan PPSMI adalah satu keputusan yang tepat dan merupakan satu langkah ke hadapan dalam menambahbaik kualiti pendidikan di negara ini. Keputusan ini sesungguhnya mengambilkira kepentingan pelajar serta matlamat membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi demi kepentingan negara pada masa depan. Keputusan ini juga adalah selaras dengan amalan pendidikan terbaik di peringkat antarabangsa.
28. Justeru, ingin saya tegaskan di sini bahawa keputusan memansuhkan PPSMI bukanlah satu keputusan politik, malah ianya memerlukan iltizam politik (political will) yang tinggi untuk dilaksanakan. Pendidikan anak-anak adalah sesuatu yang cukup besar dan bermakna bagi sesebuah negara untuk dipolitikkan. Kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan sekali-kali memperjudikan nasib anak bangsa dan masa depan negara semata-mata untuk meraih keuntungan politik sempit.
29. Pemansuhan PPSMI tidak bermakna Kerajaan mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris. Sebaliknya, penguasaan bahasa Inggeris pelajar akan dipertingkatkan dengan beberapa langkah menambahbaik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Saya telah pun menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar ketika membuat pengumuman mengenai strategi “Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” (MBMMBI) baru-baru ini. Ini termasuklah menambah bilangan guru bahasa Inggeris, menambah waktu belajar bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan, memperkenalkan program sastera kontemporari kanak-kanak untuk mengukuhkan asas penguasaan bahasa Inggeris di peringkat umur yang awal, memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, menekankan komponen tatabahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dan mendedahkan pelajar dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.
30. Pihak Kementerian juga telah bersetuju untuk mewujudkan lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Inggeris khusus untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris. Kementerian juga secara dasarnya telah bersetuju untuk menempatkan guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru yang akan diambil dari luar negara di kawasan luar bandar bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar luar bandar. Insentif khusus akan diberikan kepada guru-guru bahasa Inggeris yang bersedia untuk berkhidmat di luar bandar. Jawatan pembantu guru bahasa Inggeris juga akan diwujudkan bagi kelas besar, seperti kelas yang melebihi 35 orang murid, untuk meningkatkan “contact-time” antara guru dan murid. Dengan mewujudkan jawatan guru pembantu bahasa Inggeris ini, tumpuan yang lebih boleh diberikan kepada pelajar-pelajar yang lemah penguasaan bahasa Inggeris. Mereka ini boleh dibimbing secara lebih dekat untuk membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.
31. Dengan melakukan penambahbaikan secara menyeluruh dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, disertai dengan komitmen para guru untuk menggunakan kaedah terbaik dalam usaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, Kerajaan menaruh keyakinan bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita akan meningkat. Untuk mencapai matlamat ini, warga pendidik perlu melakukan lonjakan berganda untuk menterjemahkan dasar dan strategi pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan. Kita sesungguhnya tidak mempunyai banyak masa untuk mencapai matlamat penting ini. Keupayaan negara untuk melahirkan modal insan yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan kompeten terletak di bahu warga pendidik.
32. Pemantapan penguasaan bahasa Inggeris perlu bergerak seiring dengan pengukuhan penguasaan bahasa Malaysia. Untuk tujuan ini, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas Bahasa Malaysia di kalangan pelajar melalui pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. Penekanan juga akan diberikan kepada penghayatan dan apresiasi kesusasteraan Melayu bagi pelajar di peringkat sekolah menengah. Keputusan mengembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memperkukuh dan memartabatkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dalam sistem pendidikan negara. Dengan pelaksanaan keputusan ini komponen Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di Tahap 1 sekolah kebangsaan meningkat daripada 60 peratus kepada 75.6 peratus, manakala di Tahap 2 meningkat daripada 60 peratus kepada 80 peratus. Peningkatan yang sama juga berlaku di peringkat sekolah menengah.
33. Melihat ke hadapan, dasar “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita. Kementerian Pelajaran pada ketika ini sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti. Satu pendekatan soft-landing akan diambil untuk memastikan pencapaian pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di bawah dasar PPSMI tidak akan terjejas.
34. Pihak Kementerian juga telah membentuk enam Jawatankuasa Kecil sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, lojistik, personel dan penerangan. InsyaAllah, berkat kefahaman, sokongan dan usaha berterusan seluruh warga pendidik dalam menjayakan dasar baru ini, kita akan dapat mencapai matlamat menambahbaik kualiti pendidikan di negara kita secara berterusan demi kepentingan masa depan negara.
35. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada warga pendidik yang telah menyatakan sokongan padu kepada dasar-dasar dan strategi baru yang telah saya umumkan. Sesungguhnya, sebagai Menteri Pelajaran, saya amat mengharap dan menghargai sokongan dan dokongan padu warga pendidik untuk merealisasikan wawasan dan gagasan Kerajaan dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara.
36. Akhirnya, saya ingin mengajak seluruh warga pendidik untuk bersama-sama mara ke hadapan, memperkukuhkan iltizam dan melakukan lonjakan berganda untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di negara kita.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam hormat.
Thursday, July 23, 2009
Sekolah Kebangsaan Subang Bestari (Sekolah Aziz) Ditutup H1N1
1: MAKLUMAN TERKINI H1N1 SK SUBANG BESTARI (23.7.2009)
Kiriman pada Thursday, July 23 @ 16:00:35 MYT oleh myusaman
Yang dihormati
Dato’ Datin, Tuan-puan
Ibu Bapa / penjaga
Dan Murid SK Subang Bestari.
MAKLUMAN H1N1 SK SUBANG BESTARI
Merujuk kepada perkara diatas.
2. SK Subang Bestari akan DITUTUP mulai Khamis 23.07.2009 (1.30 Petang) sehingga Khamis 30.07.2009 (6.30 Petang) atas nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Sekolah akan DIBUKA semula pada jumaat 31.07.2009.
3. Murid-murid yang tidak sihat dinasihatkan berehat dirumah. Sekiranya murid-murid mengalami simpthon H1N1 (deman, selsema, sakit sendi, dan sesak nafas) sila dapatkan rawatan dengan segera.
Sekian, terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
“SAYA YANG MENURUT PERINTAH”
En. Abd. Aziz Bin Hj Md Ali
abdaziz@sksb.net
Guru Besar
SK Subang Bestari
Tel. : 019-6111485
Tel. Pejabat : 03-78457401
Fax : 03-78591495
Tuesday, July 21, 2009
Majlis Perhimpunan Warga Pendidik KPM di PICC
Saya berkesempatan bertemu dengan Ton dan Ita. Che Norizam pun ada sama tetapi kami tak dapat duduk bersama. Foto ini selepas selesai program ini. Saya juga ingin berkongsi maklumat2 yang diperoleh semasa program ini untuk dikongsi dengan rakan2. Kepada Ton, Ita dan Che Norizam, bolehlah tambah mana2 yang patut maklumat yang tidak lengkap yang saya berikan disini.

Kandungan Ucapan YAB Menteri Pelajaran :
1. Sepuluh Mata Pelajaran SPM mula 2010
- Dipinda kerana tidak selari dengan anjakan sistem pendidikan
- Tujuan adalah pentaksiran dan bukannya menguji kebolehan
- Tumpuan yang lebih boleh diberi untuk kebolehpasaran pelajar, softskills (kualiti), berilmu dan berkemahiran tinggi
2. Memperkasakan Sukan Sekolah
- Bagi peningkatan softskills.
- Kurang mata pelajaran, maka tumpuan boleh diberi untuk kokurikulum
- Jurulatih sukan akan ditempatkan di sekolah2
- IPG Sukan yang khusus akan ditubuhkan
3. Syarat Wajib Lulus BI dalam SPM
- Memastikan penguasaan BI murid akan bertambah baik
- Peluang menceburkan diri dalam sektor ekonomi yang global
- Merupakan bahasa maklumat, komunikasi dan perdagangan
- Peratus kelulusan BI dalam SPM 2008 hanya 26.9% di sekolah luar bandar
- Pendekatan yang dibuat ini adalah untuk 'labeling-up' dan bukannya untuk tujuan 'labeling-down'.
4. Pemansuhan PPSMI
- Pencapaian pelajar dalam matematik dan sains telah menunjukkan kemerosotan dalam peperiksaan awam 2008
- Tahap penguasaan BI yang lemah menyebabkan kesukaran memahami matematik dan sains
- Guru2 sendiri menghadapi masalah guna BI sepenuhnya terutama sekolah2 luar bandar
- Murid gagal menguasai konsep2 asas (knowledge defisit)
- Ini disokong oleh UNESCO melalui laporan Education for All yang menekankan ekuiti dan kualiti kepada semua warga
- 5 IPG BI akan diwujudkan
- Guru2 BI terbaik akan ditempatkan di luar bandar
- Insentif kepada guru2 BI
- Jawatan pembantu guru BI akan diwujudkan
- Pandangan dari peserta menyatakan bahawa guru2 matematik, sains dan BI yang dapat BISP tidak menggunakan elaun tersebut untuk meningkatkan penguasaan BI mereka.
- Pemansuhan PPSMI akan menghapuskan semua terma2 dalam PPSMI.
5. Program Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)
- Ganti PPSMI
- Penguasaan murid dalam Bahasa Malaysia disamping Bahasa Inggeris.
Sunday, July 19, 2009
Selamat Bertemuduga Rakan-rakan Pada Minggu Ini (20-24 Julai 2009)
Minggu ini giliran 8 orang rakan kita yang akan menghadapi temuduga di tempat masing2. Didoa dan diharapkan mereka seperti senarai di bawah akan dapat menghadapi dan menjawab dengan tenang dan berjaya.
1 Goh Chai Ean - 21 Julai 2009
- Jawab jangan pelat2 Goh. Jgn jwb pasal itu CRV hilang.
2 Maznon bt. Mohd Sidin - 21 Julai 2009
- Jgn gelabah Non. Relaks and steady. Nk entertaint pd hari tu, tak tahu lagi sebab kami semua GB Daerah Hulu Langat dan KP Sains/Matematik di arah ke PICC untuk sesi KPM
3 Valarmathi a/p Balakrisnan - 21 Julai 2009
- Try the best Valar.
4 Lee Ai Hiang - 22 Julai 2009
- Kalau konvo dulu boleh dpt first class, jwb interview senang aje.
5 Yusof b. Sipan - 22 Julai 2009
- Kau ni banyak sgt study sampai hari sabtu dan ahad pun pergi sekolah. Tak boleh study kat rumah ke? Almaklum kau study dgn komputer. Jgn kau jawab soalan lain dah lah Cop.
6 Mohamed Al-Awal b. Othman - 23 Julai 2009
- Pengalaman bertugas penting Awal. Dia tanya pasal pengalaman kerja aje dan perkaitannya dgn dasar2 semasa. Kacanglah Awal.
7 Mohd Pirzan b. Md.Noh - 23 Julai 2009
- Ucop ckp kau nak interview di Sabah? Org Negori, keje Pahang, nk interview di Sabat? Tak usahlah Jang. Kau pergi aje interview, di mana erk...???
8 Rozita bt. Sulaiman - 24 Julai 2009
- Dah tertinggal kereta api sekali cukuplah. Kali ini dah tak tertinggal. Jangan gugup sebab kembar tak ada sama. He he he... Kalau nak ajak kembar temankan pun boleh juga. Interview hari Jumaat ni boleh dapat markah penuh 100%. Good luck tu you Ita.
Itulah serba sedikit coretan yang dapat diberikan diwaktu sedikit kelapangan masa.
Diucapkan Selamat Menghadiri Temuduga To All of You.
Thursday, July 16, 2009
Keahlian Persidangan Graduan NPQH
Saya telah melawat blog PgNPQH (Persidangan Graduan NPQH) dan melihat beberapa faedah yang boleh kita peroleh. Oleh itu saya syorkan kita mendaftar keahlian bagi mewujudkan suara yang kuat bagi memperjuangkan sesuatu yang boleh diperjuangkan. Rakan2 boleh melayari blog seperti alamat di bawah :
Persidangan Graduan NPQH
Saya telahpun mendaftar. Selamat menjadi ahli dan menyumbang secara positif. TK.
Monday, July 13, 2009
Selamat Bertemuduga Bagi Mereka Yang Ditemuduga Pada Minggu Ini
Kepada rakan2 yang akan ditemuduga pada minggu ini diucapkan selamat berjaya dalam temuduga nanti. Apa yang penting ialah memastikan semua dokumen asal dan salinan lengkap disamping cara berpakaian. Bagi mereka yang ditemuduga pada hari Khamis, lebih sesuai berpakaian kot yang menunjukkan bahawa itu adalah rasmi bagi temuduga. Batik hanya kepada mereka yang pergi bekerja.
1 Paridah bt. Hassan - 14 julai 2009
2 Sharifah Rahayah bt. Syed Ahmad - 14 Julai 2009
3 Wan Zainon bt. Wan Ibrahim - 14 Julai 2009
4 Anas b. Yussof - 16 Julai 2009
5 Che Azid b. Hj.Nor - 16 Julai 2009
Kami semua doakan semoga rakan2 berjaya dan dapat menjawab semua soalan dengan tenang. Terima kasih.
Wednesday, July 8, 2009
Small Gathering
Kami berlima telah selesai menjalani temuduga. Adley, Abu, Che Norizam dan Rokiah ditemuduga di Bilik 5 dengan panelnya Encik Mahzan Bakar (Bekas Pengarah PPK) manakala saya dengan panelnya Cik Ong Joo Lin di Bilik 8. Adley telah selesai lebih awal, diikuti dengan saya, kemudian Che Norizam, Abu dan Kak Kiah yang terakhir. Kami selesai pada pukul 12.45 tengah hari.
Kami terus bergerak ke Presint 9 bagi menikmati juadah makan tengah hari atau dalam erti kata lain perjumpaan kecil kerana masing2 baru selera nak makan setelah selesai situasi yang mendebarkan. Enak juga makanan di Medan Selera Presint 9 ni (lihat gambar).

Gambar 1

Gambar 2
Tentu rakan2 ingin tahu apa yang telah ditanya. Bagi Adley, Abu, Che Norizam dan Rokiah, bolehlah kongsi di ruang komen nanti. Bagi saya pula telah ditanya dengan soalan pertama untuk memperkenalkan diri, dah berumur baru belajar dan terangkan konsep pembelajaran sepanjang hayat (kerana tahu saya sambung master), pelaksanaan kokurikulum di sekolah, guru burn-out, motivasi guru, prosedur kehilangan peralatan PPSMI, pelaksanaan kewangan sekolah, PIPP (saya terangkan keenam2 teras berserta program dan contohnya di sekolah), cabaran sebagai pentadbir jika dibandingkan bertugas di KPM dan JPN dulu.
Apa yang perlu diambil kira soalan2 adalah berasaskan kepada bidang tugas kita sekarang yang perlu dijelaskan. Tidak ada fakta2 yang perlu diingat dan dihafal. Kepada rakan2 lain semoga berjaya dalam temuduga nanti.
Terima kasih.
PPSMI Dimansuhkan - Sains dan Matematik Mulai 2012
YB Menteri Pelajaran telah mengumumkan keputusan pelaksanaan PPSMI dan berikut adalah petikan dari akhbar untuk makluman.
08/07/2009 2:37pm
PUTRAJAYA 8 Julai - Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan.
Keputusan Kabinet itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari iniPUTRAJAYA 8 Julai - Matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan kebangsaan akan diajar dalam bahasa Melayu berkuatkuasa pada 2012.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan Kabinet itu berkata, pengajaran dan pembelajaran kedua-dua matapelajaran itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan juga memutuskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan.
Katanya, pelaksanaan bermula secara bertahap iaitu bagi tahun satu, tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat.
Perubahan dasar itu bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi.
Sunday, July 5, 2009
Cuti Rehat Bagi Temuduga dan Tidak Boleh Cuti Tanpa Rekod
Dah agak sunyi juga blog ini. Rakan2 pun macam dah tak sudi nak aktifkan blog ini. Bagi saya, mohon maaf sikit kerana kesibukan untuk terus mengendalikan blog ini.
Seperkara perlu diingatkan bahawa untuk menghadiri temuduga kita seharusnya mengambil CUTI REHAT kerana tiada peruntukan untuk membolehkan kita mengambil cuti tanpa rekod. Begitu juga dengan guru2 kita jika sekiranya mereka ingin menghadiri temuduga kenaikan pangkat ke DG41. Jika rakan2 tak pasti dengan apa yang saya cakap, sila rujuk kepada pekeliling dan perintah am. Jangan sampai guru2 kita menempelak kita pula.
Terima kasih.
Thursday, July 2, 2009
Skop Soalan Temuduga
Sambil mendengar taklimat praktikum saya sempat ber SMS dengan En Wan Hamzah (bekas Pengetua Cemerlang SM Sains Tengku Faris Petra, Kelantan) yang kini adalah panel temuduga SPP. Tujuannya tidak lain adalah untuk mendapatkan info tentang skop soalan yang akan ditanya. Beliau memberi SMS meminta kita bersedia tentang skop berikut :
1. FPK
2. PIPP
3. KBSR/M dan KSSR
4. Isu2 semasa pendidikan - spt PPSMI, BI wajib lulus SPM dll
5. Isu2 dalam negara dan luar negara
Mudah-mudahan rakan2 boleh buat persediaan awal. Selamat bertemuduga dan berjaya. Jangan risau dan susah hati. Insya-Allah semua akan berjaya dalam temuduga.
Tuesday, June 30, 2009
Info Jadual Temuduga - Penting!!
Berikut adalah jadual temuduga yang dikeluarkan oleh SPP melalui portal mereka. Diminta rakan2 pastikan termasuk dalam salah satu kumpulan tarikh tersebut. Jika tidak ada, sila hubungi segera SPP kerana nanti rakan2 akan ketinggalan agak jauh. Ini telah dilakukan oleh Pn Hjh Rozita dan Pn Valarmathi. Nombor telefon boleh diminta dari mereka berdua. Kalau saja nak duduk diam2 tu tak mengapalah kerana saya sekadar mengingatkan sahaja.
| :: | Pada 09 - 12 Jun 2009 | ||
| Pahang (Temerloh, Raub) | |||
| Perak (Taiping, Sitiawan) | |||
| P.Pinang | |||
| Putrajaya | |||
| Johor (Kluang) | |||
| :: | Pada 15 - 19 Jun 2009 | ||
| Terengganu (Kuala Terengganu) | |||
| Melaka | |||
| Johor (J.Bahru) | |||
| Perak (Ipoh) | |||
| Kelantan (Kota Bahru) | |||
| Kedah (Alor Setar) | |||
| Pahang (Kuantan) | |||
| P.Pinang | |||
| Putrajaya | |||
| :: | Pada 30 Jun - 03 Julai 2009 | ||
| Sabah (K. Kinabalu, Keningau, Sandakan, Kudat, Tawau) | |||
| Johor (Kluang, J. Bahru, Muar) | |||
| Perak (Ipoh, Taiping) | |||
| Pahang (Kuantan) | |||
| Kedah (Alor Setar) | |||
| :: | Pada 07 - 10 Julai 2009 | ||
| Putrajaya | |||
| Perak (Sitiawan, Ipoh) | |||
| Johor (J.Bahru) | |||
| Melaka | |||
| :: | Pada 14 - 17 Julai 2009 | ||
| Kelantan (Kota Bahru) | |||
| Sabah (Lahad Datu, K. Kinabalu, Tawau, Semporna, Sandakan) | |||
| Terengganu (K. Terengganu) | |||
| Sawarak (Kuching, Sibu, Miri, Sri Aman, Sarikei) | |||
| W. P. Labuan | |||
| :: | Pada 21 - 24 Julai 2009 | ||
| Putrajaya | |||
| Johor (J. Bahru, Kluang, Muar) | |||
| Pahang (Kuantan, Raub, Temerloh) | |||
| Perak (Ipoh) | |||
| :: | Pada 27 - 31 Julai 2009 | ||
| Sarawak (Limbang, Kuching, Bintulu, Mukah, Sarikei, Kapit) | |||
| Perak (Taiping, Sitiawan, Ipoh) | |||
| Pulau Pinang | |||
| Johor (J. Bahru, Kluang) | |||
| Kedah (Alor Setar) | |||
| Putrajaya | |||
| Perlis (Kangar) | |||
| Terengganu (K. Terengganu) | |||
| Kelantan (Kota Bahru) | |||
Bahan Maklumat Konsep 1 Malaysia Untuk Temuduga
1. PENGENALAN
Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.
Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara
1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.
2. DEFINISI
Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.
Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.
2.1 Huraian
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :
2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.
Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.
Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.
Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.
2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia
“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.
Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.
3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA
Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:
3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.
3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.
4. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA
Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU
Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.
Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.
6. MATLAMAT
‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA
Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:
1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti
7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN
Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.
7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.
7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.
7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.
7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.
7.2. KETABAHAN
Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.
7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.
7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.
7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.
7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.
7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya
7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan
7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.
7.3 RENDAH HATI
Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.
7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.
7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.
7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.
7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.
7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.
7.4. PENERIMAAN
Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.
7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.
7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.
7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.
7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.
7.5 KESETIAAN
Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.
7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.
7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.
7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.
7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.
7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.
7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.
7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.
7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.
7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.
7.6 MERITOKRASI
Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.
7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..
7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.
7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.
7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.
7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.
7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.
7.7 PENDIDIKAN
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.
7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.
7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.
7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.
7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.
7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.
7.8 INTEGRITI
Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.
7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.
7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.
7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.
7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.
7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan
7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.
7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.
8. KESIMPULAN
Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.
Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.
Sumber:
1. www.1Malaysia.com.my
2. Akhbar-akhbar tempatan
3. Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.







